Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Seorang lelaki maut manakala empat kanak-kanak cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki terbabas di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar dekat Pekan Gurney dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, pemandu, Mohd Tarmimi Taha, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Isteri mangsa yang berusia 35 tahun dan empat anak mereka bagaimanapun hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari Kampung Koh menghala ke Ayer Tawar.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas sendiri ke dalam longkang.
“Akibat daripada kemalangan ini pemandu yang bekerja di syarikat swasta itu mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan kemalangan itu mengikut
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.46 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, anggota mendapati semua penumpang telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang ramai manakala pemandu tersepit di tempat kejadian,” katamya.
Katanya, pasukan yang diketuai Abdul Rahman Mat itu menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.28 pagi. -K! ONLINE