LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mula melancarkan perang psikologi terhadap Leeds United menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Pengendali dari Jerman itu menghamburkan pujian terhadap pendatang baharu EPL tersebut, lebih-lebih lagi apabila melabelkan pengurus Leeds, Marcelo Bielsa sebagai antara pengurus terbaik dunia.
Klopp mengakui anak buahnya bakal berdepan cabaran sukar pada aksi di Anfield itu memandangkan Leeds sudah menunggu 16 tahun untuk kembali ke pentas tertinggi bola sepak England berkenaan.
“Kami berdepan aksi pembuka tirai yang cukup sukar apabila perlu berdepan Leeds United kerana mereka sudah menunggu selama 16 tahun untuk kembali ke EPL.
“Mereka miliki pengurus berkelas dunia dan perlawanan itu nanti bakal menjadi aksi yang bersejarah. Saya percaya kami akan berdepan satu perlawanan sukar,” kata Klopp.
Leeds dianggap pasukan yang mampu melakar kejutan musim ini berdasarkan gaya permainan diterapkan Bielsa.
Meskipun The Reds dianggap pasukan pilihan pada perlawanan itu nanti, namun mereka tidak boleh memandang rendah keupayaan yang dimiliki pemain-pemain Leeds yang mampu mencipta kejutan. – AGENSI