Oleh NORADILA MAHAMAD
KUALA TERENGGANU – Persatuan pengguna di sekolah diseru memainkan peranan mendidik pelajar tentang urus niaga dalam talian yang kian popular pada masa ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, penggunaan platform digital untuk membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan kini sudah semakin digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat termasuk remaja.
“Zaman sekarang remaja bawah 15 tahun pun sudah terdedah dengan dunia digital yang tanpa sempadan.
“Mereka perlu didedahkan dengan pendidikan berurus niaga secara maya termasuk di plaform digital supaya tidak menjadi mangsa penipuan, penggodaman dan buli siber,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri program Kacau Bubur Asyura anjuran Surau Soufi Ad-Din Kampung Banggol, Manir.
Rosol berkata, kerajaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan pengguna di sekolah untuk mendidik pelajar menjadi generasi pengguna digital yang bijak dan berhemah. – K! ONLINE