KUALA SELANGOR – Kira-kira 152 kilogram sayuran berjaya dijual dalam tempoh kurang empat jam dengan harga serendah RM1 dalam jualan merdeka di Taman Pengeluaran Makan Kekal, Bestari Jaya di sini hari ini.
In termasuk peria katak, kacang panjang, sawi, kangkung, cili, rebung, serai dan daun kesum hasil ladang daripada peserta taman tersebut yang dijual pada harga RM1.
Turut dijual adalah ubi kayu, nangka, cempedak dan ikan air tawar seperti tilapia, patin dan baung yang bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Seorang peserta yang ditemui Kosmo!, Ibrahim Massan, 58, berkata, jualan tersebut secara langsung dapat memperkenalkan Taman Pengeluaran Makanan Kekal kepada penduduk di sekitar daerah ini khususnya.
Katanya, ramai pelanggan beranggapan taman berunsur pertanian tidak lagi wujud atau beroperasi.
“Jualan ini serampang dua mata dalam membantu masyarakat mendapat hasil terus dari kebun dan mempromosikan taman ini secara langsung.
“Tambahan, kita langsung tidak menyangka mendapat sambutan memberansangkan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Mohd. Ariff Iskandar Mohd. Fadzil, 37, memberitahu berjaya menjual hampir 100 kilogram ikan air tawar dengan harga serendah RM5 sekilogram bagi ikan keli dan talapia, ikan patin (RM7) dan baung (RM20).
“Kami juga tidak dapat memenuhi permintaan dalam talian menerusi aplikasi WhatApps yang menyatakan harga dijual itu sangat murah.
“Maklum balas daripada pelanggan mahu agar jualan tersebut diadakan seminggu sekali atau dua kali sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Zaleha Abdullah, 75, menegaskan harga jualan tersebut adalah separuh daripada harga yang dijual di pasar.
“Siapa sahaja tidak tertarik lihat sayur dan ikan yang segar dengan harga terus dari kebun.
“Ini sememangnya membantu perbelanjaan harian saya pada hari ini,” katanya. -K! ONLINE