fbpx

Bapa maut dipukul anak dengan botol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi seorang bapa maut dipukul anaknya dengan botol dalam kejadian di sebuah rumah berhampiran Pasar Gunung Rapat, Ipoh hari ini.

IPOH – Seorang bapa maut dengan kesan kecederaan di muka, leher dan kepala dipercayai dipukul anak lelakinya dengan menggunakan botol dalam kejadian di sebuah kedai runcit bersebelahan Pasar Gunung Rapat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa, Pang Ket Tai, 75, yang merupakan peniaga kedai runcit itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang stor kedai tersebut.

Mayat mangsa diusung anggota polis dalam kejadian sebentar tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai pergaduhan dua lelaki berkenaan.

“Tiba di lokasi, polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan kesan luka di kepala, muka dan leher dipercayai dipukul anaknya yang berusia 49 tahun dengan menggunakan botol.

“Anak mangsa yang dipercayai suspek dalam kejadian itu juga masih ada di sisi bapanya itu dan dia terus ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Tambah Mohamad Nordin, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun mempunyai rekod rawatan penyakit mental sejak 20 tahun lalu.

Katanya, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.

“Ketika kejadian tiada ahli keluarga lain di dalam rumah tersebut dan motif pembunuhan dipercayai pergaduhan antara mereka. Suspek dikatakan sering dimarahi mangsa kerana tidak mendengar kata-kata bapanya itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI