NEW YORK – Bekas jaguh No.1 dunia, Victoria Azarenka meranapkan impian Serena Williams untuk meraih gelaran Grand Slam ke-24 selepas menang dengan keputusan 1-6, 6-3, 6-3 awal pagi semalam.
Pada set pertama, Serena tampil dengan aksi bertenaga apabila meraih kemenangan pada set pertama, namun gagal mengekang asakan Azarenka pada set kedua dan ketiga di Stadium Arthur Ashe.
Hasil keputusan tersebut, Azarenka melangkah ke pentas final pertama Terbuka AS dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir melakukannya 2013 di mana dia tewas di Flushing Meadows.
Azarenka yang pernah meraih dua gelaran Grand Slam di Australia berturut-turut pada tahun 2012, 2013 dijangka berdepan tugas sukar selepas dijadualkan akan berdepan Naomi Osaka.
“Kemenangan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada wanita untuk mengejar impian mereka. Ibu bapa adalah perkara terpenting dalam hidup saya.
“Saya ingin mengejar impian saya untuk memberi inspirasi kepada anak saya. Saya harap wanita di seluruh dunia tahu bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja,” kata Azarenka.
Dalam pada itu, Azarenka turut memuji permainan Serena dan menggangap jaguh AS itu merupakan pemain terbaik dalam kejohanan tersebut.
“Ini adalah permainan terbaik saya dan bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama. Saya tahu Serena tidak akan beri laluan mudah untuk saya ke final dan saya berjaya melakukannya dengan baik,” ujarnya. – AGENSI