SINGAPURA – Syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines (SIA) akan memberhentikan seramai 4,300 pekerjanya disebabkan impak pandemik Covid-19.
Ketua Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, pemberhentian tersebut meliputi kesemua anak syarikat Kumpulan Singapore Airlines termasuk SilkAir dan Scoot.
“Situasi pada masa hadapan dijangka terus mencabar dan perjalanan ke arah pemulihan mengambil masa panjang serta penuh dengan ketikpastian.
“Oleh kerana itu, kami terpaksa membuat keputusan yang sukar dengan melaksanakan langkah pemberhentian pekerja secara sukarela,” katanya.
Choon Phong berkata, SIA menghadapi risiko lebih besar berbanding syarikat penerbangan lain di dunia berikutan tidak mempunyai laluan domestik dan hanya bergantung sepenuhnya kepada penerbangan antarabangsa.
Sebelum ini, syarikat penerbangan tersebut dilaporkan mengalami kerugian bersih lebih AS$800 juta (RM3.3 bilion) pada suku pertama tahun ini.
Walaupun beroperasi dengan kapasiti hanya lapan peratus berbanding sebelum pandemik, bilangan penumpang dijangka meningkat, namun tidak melebihi 50 peratus menjelang akhir tahun kewangan pada Mac tahun depan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung berkata, kerajaan bersedia membantu pekerja yang terlibat dengan pemberhentian tersebut.
“SIA telah menangguhkan langkah pengurangan pekerja selama mungkin yang ia mampu, namun disebabkan larangan perjalanan akibat Covid-19, pemberhentian ini tidak dapat dielakkan.
“Pihak kerajaan sedia membantu pekerja yang terkesan,” ujarnya. – AFP