PUTRAJAYA – Setelah enam hari koma akibat kemalangan jalan raya, penyanyi yang juga peserta program Big Stage 2020, (BS2020) Sandra Dianne Ampuria akhirnya meninggal dunia di Hospital Putrajaya, di sini sekitar pukul 1.20 pagi tadi.
Berita tersebut mula dikongsi oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam BS2020 menerusi laman sosial masing-masing dan mereka semua sempat melawat jenazah Allahyarham di hospital.
“Sebaik sahaja mendapat berita sedih ini, saya dan rakan-rakan BS2020 semua bergegas ke Hospital Putrajaya untuk melawat arwah buat kali terakhir.
“Awak kelihatan sangat cantik dan tenang, Sandra. Tenanglah awak di sana,” tulis salah seorang peserta, Farisha Iris menerusi kemas kini Insta Story pada pukul 3 pagi.
Terdahulu, Sandra, 26, terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Damasara Puchong (LDP) pada Sabtu lalu apabila kereta jenis Great Wall yang dipandunya terbabas sewaktu dia dan sepupunya dalam perjalanan ke latihan BS2020 di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC).
Penyanyi kelahiran Sabah itu merupakan artis naungan syarikat rakaman Sony Music dan dikenali ramai menerusi lagu Hey Kau. – K! ONLINE