fbpx

PGA rampas senjata api, peluru dan daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senjata api dipercayai buatan sendiri yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jedok, Tanah Merah petang semalam.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas selaras senapang kayu buatan sendiri bersama sebutir peluru hidup dan 70 kilogram daun ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jedok, Tanah Merah, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu, seorang lelaki yang menyedari kehadiran polis berjaya melarikan diri ke kawasan semak bagi mengelak ditahan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Suprintendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketika pasukan polis tiba di rumah, lelaki terbabit sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik rumah tersebut, pihaknya menemui selaras senapang kayu buatan sendiri, sebutir peluru hidup jenis Rifle bersaiz 0.22 milimeter dan 70 kilogram daun ketum bernilai RM2,610.

Beliau berkata, kesemua barang kes yang dirampas sebelum diserahkan ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata, sepanjang penugasan pasukannya bermula 16 Ogos lalu hingga semalam, pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai RM35,800,763.

Katanya, Selain barangan, PGA Batalion 8 turut menahan 58 individu termasuk tiga perempuan kerana terlibat dengan kegiatan penyeludupan di sempadan negeri ini.

Menurut Muhammad, pihaknya juga merampas 51 kenderaan pelbagai jenis yang digunakan oleh penyeludup untuk membawa barangan seludup. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI