IPOH – Seorang peniaga pasar malam meninggal dunia selepas dia terjatuh ke dalam longkang di tapak pasar malam Taman Silibin berhampiran RHB Bank di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Jamil Samsudin, 54, ditemui orang awam di dalam longkang tersebut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat mangsa tersebut pada pukul 6.45 petang.
“Mangsa ditemui peniaga pasar malam lain yang baru datang untuk membuka gerai perniagaannya sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.
“Menurut isteri mangsa, dia dan suaminya serta seorang lagi anak lelaki mereka datang untuk menjalankan perniagaan kuih peneram di kawasan tersebut dan dia tidak menyedari suaminya terjatuh ke dalam longkang berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah A. Asmadi, isteri mangsa hanya penemuan mayat tersebut kira-kira 50 meter dari lokasi gerainya apabila dimaklumkan peniaga pasar malam yang lain.
Katanya, isterinya juga memaklumkan bahawa mangsa tidak mempunyai apa-apa penyakit sebelum ini.
“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah di dalam kejadian tersebut dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat,” katanya. – K! ONLINE