KUALA LUMPUR – Padah memiliki 17 video berkaitan kumpulan pengganas Daesh awal tahun ini, seorang pemandu e-hailing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ayub Musa, 36, selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapannya pada 6 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan militan tersebut di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah rumah di Persiaran Taman Meru 14, Taman Meru 2C, Jelapang, Kinta, Perak, pukul 7.20 pagi, 6 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pencegahan mengambil dengan mengambil kira perbuatan jenayah yang dilakukan tertuduh boleh menggugat keamanan negara.
“Antara kandungan 17 video tersebut adalah paparan suasana militan Daesh semasa peperangan yang turut mengajak umat Islam menyertai aktiviti itu.
“Ada di antara video-video tersebut yang mengajak rakyat Malaysia untuk memerangi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana insaf dan menyesal dengan perbuatannya.
“Saya menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak. Saya hanya ingin fokus menjaga kedua ibu bapa saya yang sudah tua,” katanya. – K! ONLINE