fbpx

K2

Misteri wanita paling berkuasa Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA ini mempunyai pengaruh tersendiri.

NAMA Kim Yo-jong mula meniti di bibir masyarakat dunia sejak April lalu selepas khabar angin mengenai kematian pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un bertiup kencang di seluruh pelosok dunia.

Wanita berusia 33 tahun itu turut mencetus spekulasi umum kerana didakwa bakal mengambil alih tampuk pemerintahan Pyongyang.

Kemunculan secara tiba-tiba wanita berkuasa di rejim Korea Utara itu menjadi tanda tanya pelbagai pihak pada masa itu.

Yo-jong bahkan menarik perhatian kerana kelantangannya menyuarakan ancaman kepada negara jirannya, Korea Selatan pada Jun lalu

“Saya berasa ini saatnya untuk memutuskan hubungan dengan pemerintah Korea Selatan. Kami akan segera bertindak,” katanya dalam kecaman kepada Seoul.

Bukan sahaja kerana wajahnya yang sedikit bengis menjadi cakap-cakap umum, tetapi identitinya juga dilabelkan sebagai terlalu misteri.

Lebih mengejutkan apabila usia wanita ini juga masih dipertikaikan sehingga ke hari ini memandangkan tiada sebarang pengesahan rasmi dilaporkan daripada kerajaan Korea Utara berkenaan tahun kelahirannya.

Disebabkan itu juga, tidak hairanlah jika portal Forbes melaporkan Yo-jong sebagai antara wanita misteri di dunia, sama seperti perihal keluarganya yang sehingga ke hari ini masih menjadi tanda tanya penduduk alam semesta. Dia hanya lebih dikenali sebagai adik perempuan Jong-un.

Dek kerana keseriusan wajah dan misteri identiti dirinya itu juga, segelintir masyarakat dunia turut menggelarnya sebagai Ivanka Trump Korea Utara.

Biarpun seorang wanita, namun beberapa pihak mengeluarkan teori mereka yang tersendiri dan mendakwa Yo-jong bakal mewarisi pemerintahan kejam yang dipraktikkan abangnya.

Kenyataan tersebut disokong oleh seorang pakar dari Amerika Syarikat, Profesor Natasha Lindstaedt mendakwa jantina tidak menghalang individu daripada menjadi klon Jong-un jika beliau berkuasa nanti.

“Saya tidak percaya jantinanya sebagai seorang wanita bakal melemahkan dirinya jika beliau berkuasa.

“Lebih-lebih lagi sebelum ini keluarga tersebut tidak dilihat sebagai manusia biasa oleh rakyat Korea Utara. Mereka dianggap sebagai wakil tuhan yang sangat berkuasa dan akan menguruskan segala-galanya,” jelasnya memetik laporan Daily Mirror.

Cerdas dan licik

Membaca ulasan-ulasan pakar politik dunia mengenai puteri kesayangan pemimpin Korea Utara terdahulu, Kim Jong-il ini, mungkin ada beberapa pihak yang tertanya-tanya bilakah beliau memasuki arena politik memandangkan kisahnya sebelum ini langsung tidak pernah tertera di mana-mana media.

Dilahirkan di Pyongyang, Korea Utara, wanita ini dipercayai membesar bersama dua adik-beradiknya yang lain di Pyongyang.

Sekitar 1996 semasa dirinya masih kanak-kanak, Yo-jong bersama abang sulungnya, Jong-un dihantar bersekolah di sebuah sekolah awam dikenali sebagai Liebefeld-Steinhölzli di Bern, Switzerland.

Menurut seorang pakar dari Universiti Korea Utara di Seoul, Yang Moo-jin, bersekolah jauh daripada keluarga dan menjadi anak perantauan menyebabkan kedua-dua mereka sangat akrab.

“Jong-un dan Yo-jong banyak menghabiskan masa kecil mereka berdua di luar negara.

“Disebabkan itu, hubungan adik-beradik yang terjalin sangat akrab sehingga Jong-un meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Yo-jong,” jelasnya.

Sekembalinya ke Pyongyang, dia melanjutkan pengajian di dalam jurusan sains komputer di universiti Kim II-sung.

Sejak dari saat itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini menjadi tulang belakang dalam membina imej Jong-un.

Yo-jong kemudian mula berjinak-jinak memasuki gelanggang politik Korea Utara sekitar tahun 2009 dan 2010.

Pada waktu itu, dia aktif menjalankan kempen penggantian keturunan bapanya, selain bekerja di Suruhanjaya Pertahanan Nasional diikuti sebagai setiausaha peribadi bapanya bersama ibu saudaranya, Kim Kyong-hui di Parti Pekerja Korea (WPK).

YO-jong (kanan) selalu menjadi orang kepercayaan abangnya, Jong-un.

Bermula pada bulan Mac 2009, kelibatnya mencuri perhatian penduduk Korea Utara selepas menyertai parti tertutup keluarga. Bagaimanapun, kemunculannya semakin disedari sekitar September 2010 selepas dia dikenal pasti sebagai antara peserta pada Persidangan WPK ke-3.

Dia semakin mendapat banyak publisiti masyarakat Korea Utara sewaktu menghadiri majlis pengebumian bapanya pada Disember 2011.

Pada waktu itu, Yo-jong muncul bersama abangnya Jong-un dan memimpin sekumpulan pegawai kanan parti bagi memberi penghormatan terakhir buat mendiang bapanya.

Menerusi laporan The Guardian, Yo-jong dikhabarkan menjadi individu utama dan terpenting dalam membina imej serta kredibiliti Jong-un di mata umum selepas bapanya menghidap serangan jantung sebanyak dua kali sekitar tahun 2008.

Lebih satu dekad membina imej Jong-un, tidak hairanlah jika dirinya diberi kepercayaan untuk mewakili Jong-un dalam melaksanakan tugas.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Profesor Kajian Antarabangsa di Universiti Ewha di Seoul, Leif-Eric Easley.

“Rejim Korea Utara adalah pemerintahan turun-temurun keluarga. Kim Jong-un dilihat begitu mempercayai adiknya.

“Dia telah menunjukkan keterampilan dalam memodenkan jenama rejim dan memiliki pengaruh terhadap propaganda negara. Fungsi terpentingnya mungkin sebagai orang kuat yang begitu dipercayai abangnya,” jelasnya.

Bulan lalu, Reuters melaporkan wanita itu dipercayai kini sebagai de facto second-in-command atau secara tidak rasminya individu kedua paling berkuasa Korea Utara.

Biarpun mendapat kepercayaan daripada abangnya, namun dirinya turut disifatkan sebagai bijak dan licik.

Malah, pakar mengenai politik Korea Utara, Bruce Bennett, menyifatkannya sebagai seorang wanita yang sangat licik.

“Dia cerdas, licik dan tiada siapa tahu berapa banyak kekuatan serta pengaruh yang telah diperolehinya sewaktu beliau bekerja di balik bayang-bayang Jong-un,” jelasnya.

Yo-jong juga secara terbuka memuji Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menjaga hubungan dua hala secara baik dengan menawarkan bantuan menangani pandemik Covid-19 sekitar Mac lalu.

Pun begitu, terdapat media-media pada masa ini seperti Fox News, The Sun dan Korea Times yang mula membangkitkan desas-desus kehilangan wanita itu apabila dia sudah tidak lagi dilihat muncul di khalayak umum sejak 27 Julai lalu.

Di manakah Yo-jong sekarang?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI