JURULATIH Melaka, Zainal Abidin Hassan tidak mahu para pemainnya dibuai kemenangan lepas sebaliknya perlu berwaspada dengan ancaman pasukan Selangor ketika bertandang ke Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam malam ini.
Melaka United sebelum ini dipotong tiga mata susulan gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual sekali gus terperosok ke tangga ke-11 liga.
Bagaimanapun, skuad Sang Kancil itu mempamerkan prestasi terbaik apabila melakar dua kemenangan berturut-turut ketika menentang Perak dan Terengganu FC sekali gus menduduki tangga kelima keseluruhan.
“Kita akui perlawanan seterusnya bukannya mudah kerana Selangor merupakan pasukan yang berpengalaman terutama di barisan jentera serangan mereka.
“Melaka United sebelum ini pernah mendahului Selangor pada awal perlawanan, namun kita dikejutkan dengan kekalahan pada saa-saat akhir.
“Kita sedar akan cabaran yang akan dihadapi itu. Kami telah melakukan persiapan dan perbaiki kelemahan di beberapa sudut. Jadi saya harap, pemain tidak terus berasa terus selesa dengan dua kemenangan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, pemain tengah Melaka, Romel Morales menuntut rakan-rakan sepasukannya menampilkan aksi terbaik ketika menentang skuad Gergasi Merah.
“Kami tahu Selangor adalah pasukan yang bagus tetapi kami hanya perlu menumpukan perhatian pada apa yang harus kami lakukan untuk memenangi perlawanan,” ujarnya.