fbpx

Lelaki khayal dadah pukul ibu bapa dengan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy

SEBERANG PERAI – Seorang penagih dadah yang sedang khayal tergamak memukul ibu bapa dan adiknya dengan sebatang kayu kerana berang akibat ditegur dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, bapa suspek berusia 70 tahun dan ibunya berusia 68 tahun serta adik perempuan berusia 23 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kelapa Batas di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku selepas bapanya menegur lelaki berusia 37 tahun itu kerana membuat bising di dalam rumah ketika keluarganya sedang tidur.

“Suspek yang dipercayai khayal dadah naik berang sebelum berlaku pertengkaran dengan bapanya dan dia mengetuk dinding rumah dengan sebatang kayu.

“Suspek telah memukul kepala bapanya dengan kayu tersebut selain ibu dan adiknya yang cuba leraikan pergaduhan turut dipukul,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, bapa suspek mengalami luka pada sebelah kiri kepala, ibunya luka pada atas kepala serta adiknya mengalami lebam pada belakang badan, bahu dan tangan.

Sementara itu, Noorzainy berkata, suspek bagaimanapun telah melarikan diri sejurus kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui kayu tersebut dan usaha mengesannya sedang dilakukan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI