fbpx

Keldai akaun didakwa 22 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soon Chiang didakwa atas 22 pertuduhan membenarkan akaun miliknya digunakan individu tidak dikenali di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pencuci kereta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan membenarkan individu tidak dikenali menggunakan akaun bank miliknya dua tahun lalu.

Tertuduh, Lee Soon Chiang, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya secara tidak jujur menyembunyikan harta milik seorang wanita warga emas dengan jumlah keseluruhan RM200,000 melalui akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Seksyen 31, Kota Kemuning di sini pada 23 dan 25 Julai 2018.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbaizura Mohd. Saubian kemudiannya menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan tersebut bersama seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Soon Chiang yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon ikat jamin dikurangkan atas alasan perlu menanggung perubatan dan menjaga ayahnya yang mempunyai penyakit angin ahmar selain tiga beradiknya yang lain.

“Saya tidak bawa duit sebanyak itu (RM100,000) untuk dijamin dan mohon kurangkan wang ikat jamin,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin yang sihat serta membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Difahamkan, tertuduh membenarkan akaun banknya disewa secara bulanan sebanyak RM450 oleh sindiket Macau Scam dengan mangsa adalah seorang suri rumah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI