fbpx

Jangan sesekali alpa ketika di luar tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR IDAYU BOSRO
WAKIL KOSMO! PUTRAJAYA

PADA 8 September lalu, negara dikejutkan dengan angka jangkitan Covid-19 yang melonjak ke tiga digit iaitu 100 kes, paling tinggi dalam tempoh tiga bulan lalu. Sebahagian besar dikesan di Kluster Benteng LD di Sabah apabila 62 kes direkodkan, manakala Kluster Sungai sebanyak 23 kes.

Biarpun kes tinggi di Kluster Benteng LD, kebanyakannya membabitkan tahanan pendatang asing tanpa izin di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan banduan di Penjara Tawau yang terasing daripada komuniti, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan masyarakat awam.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah kes di Kluster Sungai yang melibatkan petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara khususnya dalam meme­rangi wabak Covid-19.

Siasatan mendapati, kira-kira 53 peratus kes dalam Kluster Sungai berpunca daripada penularan dalam kalangan petugas kesihatan sendiri, mendapat jangkitan daripada komuniti (22 peratus) dan jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status (17 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah beberapa kali me­ngingatkan petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan daripada pelbagai agensi lain untuk mengambil langkah berwaspada dalam menggendalikan kes-kes berkaitan Covid-19.

Menurutnya, ini termasuklah memakai sut peralatan perlin­dungan diri (PPE) bersesuaian selain sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pematuhan 100 peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan luar tugas amat penting. Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Co­vid-19,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, petugas kesihatan berdepan risiko pendedahan daripada pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan, berada dalam rawatan di wad dan mungkin juga daripada petugas kesihatan lain.

“Risiko tertinggi membabitkan pesakit yang hadir tanpa simptom selain tidak mempu­nyai pendedahan berkaitan jangkitan Covid-19,” katanya.

Mengambil contoh kes import, 91 peratus atau 216 pengembara yang pulang ke Malaysia ke sejak 24 Julai lalu didapati positif dan mereka tidak bergejala.

Daripada keseluruhan 237 pengembara itu, hanya 21 yang bergejala demam, batuk dan mengalami masalah pernafasan.

Katanya, dalam situasi ini, pendedahan kepada jangkitan sama ada kepada petugas mahupun pesakit lain mungkin boleh berlaku.

“Penilaian risiko pendedahan kepada jangkitan bergantung kepada tempoh pendedahan, jarak dengan pesakit, prosedur yang digunakan dan diimbangi dengan PPE yang digunakan.

“Petugas yang telah dijangkiti, sedang dirawat atau menjalani kuarantin seorang diri boleh menghubungi talian terus pakar psikologi bagi mendapatkan sokongan atau meluahkan pe­rasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Marzuki berkata, sebelum petugas kesihatan dibenarkan kembali bertugas, mereka perlu menjalani saringan sekali lagi bagi memastikan sihat sepenuhnya dan tidak memberi risiko jangkitan kepada rakan sekerja serta pesakit di fasiliti kesihatan.

“Keputusan saringan persampelan cecair hidung dan tekak mestilah negatif sebanyak dua kali pada sela masa 48 jam antara keduanya selain pulih daripada demam serta pernafasan semakin baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI