MANCHESTER – Bekas penyerang antarabangsa England, Darren Bent mengakui terkejut kerana tidak ada pasukan cuba memancing khidmat kapten Aston Villa, Jack Grealish pada jendela perpindahan ini.
Sebelum ini, Manchester United dikatakan satu-satunya pasukan yang benar-benar serius untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa England berkenaan.
Bagaimanapun, usaha United yang dilihat terdesak untuk mendapatkan pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho terus menenggelamkan minat mereka terhadap Grealish.
“Adakah dia akan tinggalkan Villa? Saya fikir ia akan terjadi tetapi setakat ini tidak ada pasukan yang datang melakukan tawaran £50 juta (RM270.8 juta) dan ia mengejutkan saya.
“Dia boleh beraksi dalam mana-mana pasukan tetapi belum ada pasukan melakukan tawaran. Mungkin lebih baik dia kekal di sini (Villa) dan kekal sebagai pemain penting bersama kelab berkenaan,” kata Bent.
Beliau juga percaya pihak pengurusan Villa tidak akan menghalang Grealish untuk berhijrah sekiranya ada pasukan yang tampil dengan tawaran munasabah.
“Sekiranya ada tawaran lumayan dibuat bagi mendapatkan Grealish, saya tidak fikir Villa akan menghalang kerana dia sangat setia dan memerlukan cabaran baharu untuk kebaikan kariernya,” ujarnya. – AGENSI