Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengesan dua premis restoran makanan yang menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kebenaran.
Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, hasil pemeriksaan di Nilai pada 9 September lalu, pihaknya mendapati dua premis telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan ungkapan Halal pada iklan kedai dan menggunakan logo halal pembekal barangan yang telah tamat tempoh di dalam premis perniagaan.
“Sepasukan pegawai penguatkuasa dari KPDNHEP Seremban, Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat pemeriksaan berkaitan Perbahasan Halal di kawasan Nilai.
“Kedua-dua premis itu boleh disabitkan Dibawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Menggunakan dan mempamerkan sijil halal syarikat pembekal di restoran merupakan kesalahan kerana menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM 250,000.
Ain Arjuna menjelaskan lagi, kedua-kedua restoran tersebut juga disabitkan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.
“Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM5 juta,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sejak 2017 sehingga 2020, sebanyak 55 kes telah dihasilkan berkaitan kesalahan Perakuan dan Penandaan Halal dan Takrif Halal.
“Bagi tahun 2020 iaitu sehingga 9 September lalu, sebanyak 246 premis telah diperiksa di seluruh Negeri Sembilan dan sebanyak 12 kes telah dihasilkan.
“Antara kesalahan yang dilakukan oleh premis adalah menggunakan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, menggunakan sijil halal yang telah tamat tempoh, menggunakan perbahasan halal dan mempamerkan Tauliah Sembelihan JHEAINS di premis makan,” katanya.
Justeru katanya, peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo Halal, Sijil Halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran Jakim. – K! ONLINE