Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Tujuh premis di daerah ini dipotong bekalan elektrik selepas dikenal pasti melakukan aktiviti perjudian atas talian dalam satu operasi khas di sekitar daerah Manjung di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi pemotongan elektrik iyang bermula pukul 4.30 petang itu dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Premis tersebut dikesan berselindung di sebalik perniagaan runcit untuk menjalankan aktiviti tambah nilai untuk berjudi dalam talian.
“Ini adalah taktik mereka untuk berselindung daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan terhadap operasi itu di Seri Manjung, hari ini.
Katanya, berdasarkan rekod, serbuan dan tangkapan sudah dilakukan dua kali sebelum ini di salah satu premis tersebut, tetapi mereka masih berdegil dan terus beroperasi.
“Sebagai contoh, ada sebuah premis sejak tiga hingga empat bulan lalu polis sudah membuat serbuan namun mereka masih degil dan oleh sebab itu pemotongan elektrik dilakukan.
“Polis komited untuk membanteras kegiatan judi dalam talian dan ini juga sebagai amaran kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.
Nor Omar berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 161 kes melibatkan judi haram dicatatkan di daerah Manjung dan 101 kes sudah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam tindakan pihaknya.
Katanya, secara keseluruhan ia melibatkan 99 kes loteri awam haram, 19 kes judi dalam talian dan 43 kes catat taruh haram atau lumba kuda. – K! ONLINE