SELEPAS melakar kemenangan ke atas Sabah pada aksi Liga Super minggu lalu, Selangor sekali lagi menggalas misi penting melayan kunjungan Melaka United di Stadium UiTM Shah Alam malam ini.
Pemain tengah Gergasi Merah, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri menegaskan, kemenangan ke atas Melaka mampu menjadi detik kebangkitan pasukan itu bagi memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.
Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu menggesa semua pemain Selangor berjaga-jaga dengan kemampuan skuad Sang Kancil memandangkan pasukan itu pernah menewaskan Terengganu FC minggu lalu.
“Saya harap semua pemain tingkatkan lagi kualiti permainan ketika bertemu Melaka kerana ia boleh jadi detik kebangkitan sekiranya kami mahu kejar kedudukan teratas.
“Kemenangan lawan Sabah sedikit sebanyak memberi suntikan motivasi kepada kami. Sementara itu, semua pemain juga berada dalam keadaan terbaik serta cergas 100 peratus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, bekas pemain Kedah itu percaya peningkatan prestasi yang ditampilkan pemain import, Ifedayo Olusegun dan Rufino Segovia mampu membantu Selangor mengutip tiga mata malam ini.
“Ketika aksi bertemu Sabah dan PJ City sebelum ini, kami agak sukar untuk menembusi benteng pertahanan lawan. Saya boleh katakan kami bergelut untuk cipta hantaran kreatif.
“Bagaimanapun, Rufino sudah kembali temui sentuhan sementara Ifedayo juga berjaya jaringkan dua gol ketika bertemu Sabah. Saya harap jentera serangan akan lebih tajam ketika bertemu Melaka,” ujar Khyril.