fbpx

Reman 4 beradik disambung 5 hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat suspek ketika dibawa di Mahkamah Selayang di sini hari ini

SELAYANG – Reman empat beradik yang merupakan pengurus kilang disyaki terlibat dalam pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang dilanjutkan lima hari lagi  hingga Selasa depan.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan hari ini terhadap keempat-empat suspek berusia 50 hingga 60 tahun.

Terdahulu keempat-empat suspek yang memakai baju lokap oren tiba di mahkamah pada pukul 9.15 pagi.

Siasatan kes terhadap keempat-empat lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu ialah melakukan perbuatan yang diketahui  menyebabkan susut bekalan air untuk minuman manusia atau haiwan yang dipelihara atau untuk kebersihan atau perusahaan.

Hukuman bagi seksyen tersebut penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini keempat-empat suspek itu telah direman pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan apabila tangkapan dibuat di kediaman mereka termasuk ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lagi lelaki berusia 30-an yang merupakan pekerja kilang itu direman selama enam hari bermula hari ini selepas ditangkap di Gombak semalam.

Isnin lalu, dua pekerja masing-masing berusia 20 dan 57 tahun turut direman di mahkamah sama selama enam hari berhubung kejadian itu.

Ekoran pencemaran minyak dari kilang tersebut, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI