LOS ANGELES – Anggota polis Amerika Syarikat (AS) menembak dan mencederakan seorang budak lelaki autistik berumur 13 tahun di Bandar Salt Lake, negeri Utah.
Insiden berlaku ketika ibu mangsa menelefon talian kecemasan 911 dan meminta bantuan selepas anaknya mula menjerit akibat tekanan emosi.
Linden Cameron mengalami keadaan dipanggil keresahan pemisahan, kata ibunya Golda Barton kepada wartawan. Budak itu mempamerkan sikap marah semasa Barton pulang ke rumah selepas bekerja.
Tindakan mangsa adalah kali pertama berlaku dalam tempoh hampir setahun. Barton menghubungi 911 dan meminta polis membantu membawa anaknya ke hospital.
“Saya beritahu mereka bahawa dia tidak bersenjata atau ada memiliki apa-apa (objek tajam). Dia cuma marah, menengking dan menjerit.
“Dia masih seorang kanak-kanak dan cuma cuba mendapatkan perhatian,” katanya kepada stesen penyiaran tempatan KUTV.
Semasa remaja itu melarikan diri daripada polis, seorang anggota melepaskan tembakan dan mencederakan mangsa dengan kesan tembak pada bahu, usus, pundi serta buku lali.
“Semasa satu aksi mengejar, anggota mengeluarkan senjata api dan (tembakan) terkena subjek,” kata jurucakap polis, Keith Horrocks.
Katanya, anggota polis tiba di lokasi dan bertemu budak lelaki itu yang kemudian bertindak melarikan diri.
Horrocks berkata, budak lelaki itu disyaki membuat ‘beberapa ancaman kepada anggota polis dengan satu senjata’.
Bagaimanapun, dia mengakui tiada senjata ditemui di lokasi polis melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Dia cuma budak kecil. Kenapa kamu tidak menjatuhkan dia?” soal Barton. – AFP