Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM – Kerajaan negeri didesak tidak memberi sebarang tempoh lagi kepada mana-mana pemilik kilang haram bagi melaksanakan proses pemutihan premis mereka.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md.Yunos berkata, ini terutama kepada mana-mana kilang tidak berlesen yang beroperasi di lingkungan dua kilometer dari sungai yang wajar dihentikan operasi mereka.
“Rakyat juga ingin tahu berapa jumlah kilang-kilang haram yang masih beroperasi di negeri.
“Justeru, penyenaraian jumlah tersebut perlu dikeluarkan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini bagi menyerahkan kertas cadangan pemeliharaan sungai sebagai sumber bekalan air kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jamal yang hadir ke SSAAS turut membawa peralatan mandi digunakannya sewaktu demostrasi tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, kehadiran beliau sewaktu penyerahan itu dihalang menerusi sekatan polis dan tiada wakil Pejabat Menteri Besar menerima kertas cadangan tersebut.
Semalam, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor akan meneruskan program pemutihan kilang haram yang dijalankan sejak tahun 2008 lalu sehingga akhir tahun ini sebagai antara usaha untuk memelihara kawasan sungai di negeri ini.
Mengulas lanjut, Jamal menegaskan antara intipati kertas cadangan itu adalah meminta diwujudkan Mahkamah Khas Pencemaran bagi mendakwa penjenayah alam sekitar dengan hukuman berat.
“Penjenayah alam sekitar yang melakukan pencemaran perlu terus ditangkap dan dipenjarakan pada masa akan datang.
“Suatu bon jaminan yang tinggi perlu dikenakan dan boleh dirampas jika pengusaha kilang haram terus mengulangi perbuatan mereka,” katanya. -K!ONLINE