fbpx

Hafizh tidak akan patah semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZH ditemani ahli keluarganya sebelum berlepas ke Itali dari KLIA, Sepang untuk menyertai GP San Marino pada hujung minggu ini.

Pesanan terakhir nenek, dorong beri aksi terbaik pada saingan GP San Marino, Itali

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak akan putus semangat untuk meneruskan perlumbaan pada Grand Prix (GP) San Marino meskipun kehilangan nenek tersayang, Arbaieah Muhammad, 67, yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Hafizh, 26, yang masih belum cergas 100 peratus selain masih mengalami kesakitan pada kaki kirinya mengakui, kata-kata ter­akhir yang dilontarkan nenek­nya di rumah keluarga di Cheras akan menjadi azimat untuk dia meneruskan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2 minggu ini.

“Arwah ada cakap dia mahu tunggu saya pada hari Jumaat tapi saya tidak berani untuk jumpa kerana takut ada jangkitan Covid-19 tetapi syukur saya tidak mengalami wabak tersebut. Arwah nenek cakap mahu mandi wangi-wangi kerana ingin sangat berjumpa dengan saya dan akhir­nya saya dapat bertemu nenek pada hari Sabtu.

“Arwah peluk saya dan kata jangan risau, nenek sihat. Tidak sangka itulah ayat terakhir saya dengar dan pada Isnin lepas, nenek menghembuskan nafas terakhir. Hati saya luluh seperti jatuh ke lantai dan sangat sedih.

“Sekarang saya perlu kuat dan perlu bawa semangat nenek untuk meneruskan perlumbaan di Misano nanti. Nenek telah menjaga saya dan masa sama membesarkan 15 cucu, nenek memang sangat-sangat kuat.

“Saya rasa macam nenek bersama saya ketika ini dan kekuatan itu saya bawa dalam diri saya untuk teruskan perjuangan pada perlumbaan hujung ming­gu ini.

“Saya akui pada mulanya pe­rasaan ini berbelah bagi tetapi dorongan hebat keluarga menyebabkan saya membuat keputusan ke Misano,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam semalam.

Dalam perkembangan sama, Hafizh bertekad untuk melepasi ujian pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan lampu hijau untuk membolehkannya meneruskan perlumbaan pada hujung minggu ini.

“Keadaan saya makin pulih tetapi bukan 100 peratus kerana otot pada kaki kiri saya masih bengkak, namun dengan rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN), keadaan bertambah baik.

“Masa agak singkat kerana terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di hotel dan hanya ada empat hari di rumah. Saya yakin mampu tunggang jentera Moto2 tetapi kita perlu lihat pada hari pertama sesi latihan bebas (FP1) nanti.

“Saya tidak boleh janjikan apa-apa, namun melihat kepada litar di Misano, banyak selekoh ke kanan jadi mungkin ia tidak memberi kesukaran kepada saya. Apa pun kita perlu tunggu hari pertama saya uji jentera Moto2 nanti,” ujar Hafizh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI