JAKARTA – Dua pencuri muda berprofil tinggi berjaya ditahan polis selepas mereka dipercayai terlibat dalam jenayah mencuri kenderaan di beberapa kawasan di Indonesia, lapor portal Tribun News semalam.
Kumpulan suspek itu dipercayai sudah menjalankan jenayah mencuri motosikal sejak enam tahun lalu membabitkan kira-kira 1,080 buah motosikal di beberapa kawasan di Kabupaten Tanggerang.
Kedua-dua suspek dikenali dengan nama singkatan RA berumur 25 tahun dan RD (30 tahun) ditahan pasukan Polis Unit Siasatan Jenayah dari bandar Tangerang di Banten dekat sini.
Ketua Komisioner Polis Kabupaten Tangerang, Ade Ary Syam Indradi berkata, mereka dianggap sebagai penjenayah berprofil tinggi dan mencuri purata 15 unit motosikal setiap bulan.
“Suspek dipercayai bergiat aktif sejak enam tahun lalu dan kira-kira 1,080 unit motosikal sudah dicuri.
“Hasil jenayah ini dijual pada harga antara 2-3 juta rupiah (RM567 hingga RM850). Jadi, jumlah untung diperoleh kira-kira 2 bilion rupiah (RM566,880),” katanya.
Beliau berkata, suspek RD pernah ditahan atas jenayah sama sebelum dibebaskan tujuh tahun lalu.
Selepas bebas, RD kembali semula melakukan jenayah itu. Dengan RA, kedua-dua mereka beroperasi di kawasan Tangerang Raya, Jakarta hingga ke Serang, Banten.
Mereka hanya perlukan masa selama tiga saat untuk melarikan sebuah motosikal selepas memecahkan kunci penghidup. – Agensi