SHAH ALAM – Balu pelawak Allahyarham Abam Bocey berpuas hati selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan tuntutan faraid yang difailkan diagih mengikut hukum syarak.
Nor Hidayah Mohd. Ali, 28, berkata tuntutan yang dibenarkan itu melibatkan rumah, kereta dan barang peribadi peninggalan arwah suaminya namun nilai tersebut tidak dapat didedahkan.
“Saya berpuas hati dengan keputusan yang mahkamah putuskan hari ini. Pembahagian tersebut melibatkan rumah, kereta dan barang peribadi antaranya jam tangan, kasut, telefon bimbit dan kamera.
” Setakat ini saya tidak boleh kongsi mengenai berapa banyak duit peninggalan arwah. Walaupun pihak sana, tidak hadir tapi ia tidak mengganggu proses mahkamah kerana bahagian itu sudah ditetapkan,” katanya ditemui selepas selesai prosiding itu hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun ibu mentuanya iaitu Sabariah Arshad tidak hadir pada prosiding tersebut, namun dia akan tetap menerima bahagiannya berdasarkan hukum yang sudah ditetapkan.
Sementara itu berhubung hak penjagaan (hadanah) , Nor Hidayah memaklumkan mahkamah telah menetapkan Oktober depan bagi sebutan kes itu.
Nor Hidayah dan Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan berkahwin pada 8 Disember 2017 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia 14 bulan.
Allahyarham Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu akibat demam panas. – K! ONLINE