JAKARTA – Seekor anak kucing terbiar yang ditemui tersangkut di dalam sebuah botol dispenser air berjaya diselamatkan sekumpulan anggota bomba di daerah Cengkareng di sini baru-baru ini, lapor portal Daily Mail.
Ketua Jabatan Bomba Jakarta Barat, Eko Sumarno berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan haiwan malang itu disumbat masuk ke dalam botol terbuang berkenaan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Seorang lelaki yang berhati mulia hadir ke balai bomba untuk meminta bantuan kami supaya membantu membebaskan kucing tersebut.
“Lelaki itu cuba melepaskan kucing itu tetapi bimbang akan mencederakan haiwan berkenaan sekiranya dia tersalah memotong botol air itu sendiri,” katanya.
Satu klip video menunjukkan dua anggota bomba berusaha membebaskan anak kucing itu daripada muncung botol air dengan menggunakan satu alat pemotong khas.
Seorang anggota bomba menggunakan sudu yang ditempatkan pada muncung botol untuk memastikan badan anak kucing itu tidak cedera terkena mata alat pemotong.
Menurutnya, anak kucing itu berjaya diselamatkan dalam operasi selama 30 minit. Mamalia itu dibawa pulang dan dipelihara oleh individu yang membawanya ke balai bomba.
“Punca bagaimana kucing itu tersekat di dalam botol itu masih belum diketahui. Anggota kami masih menyiasat sama ada haiwan itu sengaja dimasukkan ke dalam bekas air berkenaan,” ujarnya. – AGENSI