KUALA LUMPUR – Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan tiga pilihan warna baharu yang lebih segar bagi model kapcai Yamaha Lagenda 115 Zi edisi 2020 sebentar tadi.
Pilihan warna itu merangkumi skim kelabu, biru dan merah masing-masing dengan set pelekat grafik badan yang lebih menarik berbanding tawaran produk sebelum ini.
Lagenda 115 Zi menggunakan enjin empat lejang, silinder tunggal berkapasiti 113.7cc dengan kotak gear manual empat kelajuan.
Rangkaian kuasa ini boleh menjana kuasa dan tork maksimum seperti berikut:
- Kuasa: 7.4kW@7,750rpm
- Tork: 9.9Nm@6,500rpm
Lagenda 115 Zi menggunakan teknologi pancitan bahan api untuk menyalurkan minyak petrol dari tangki seluas 4.05 liter ke kebuk pembakaran.
Enjin boleh dihidupkan dengan hanya menekan butang penghidup atau gunakan sahaja penendang kaki.
Motosikal seberat 100 kilogram ini dilengkapi set brek cakera pada roda depan untuk daya brek lebih baik. Brek belakang pula adalah jenis gelendong (drum).
Sistem suspensi kapcai ini fork konvensional dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang. Rim sport sebesar 17 inci dibalut tayar berukuran 70/90 (depan) dan 80/90 untuk roda belakang.
Model kapcai Lagenda 115 Zi dijangka berada di pasaran bermula bulan ini dengan harga jualan asas yang disyorkan sebanyak RM5,180 setiap satu.
Harga itu tidak termasuk kos cukai jalan, nombor plet dan insurans motosikal.