Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan denda terhadap majikan yang melanggari Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 sehingga hujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tempoh itu akan digunakan sepenuhnya kementerian untuk memberi kesedaran dan mendidik semua majikan pelbagai sektor di negara ini.
“Walaupun kita telah mengimplimentasikan Akta 446 itu, tindakan mengenakan denda masih dianggap terlalu awal.
“Sudah menjadi tanggungjawab kementerian untuk mendidik majikan terlebih dulu dan kita akan melaksanakannya hingga hujung tahun ini. Denda itu akan menjadi jalan terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Labour Enrichment and Professionalism (LEAP) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Kamal Pardi.
Justeru, Saravanan mengingatkan majikan supaya tidak mengambil kesempatan sepanjang tempoh pendekatan pendidikan tersebut.
Dalam perkara berasingan, ujar Saravanan, pihaknya sedang mengumpul maklumat terperinci berhubung langkah kerajaan Singapura menawarkan insentif kepada majikan republik itu untuk menggaji pekerja tempatan dalam tempoh enam bulan.
“Saya percaya Singapura akan mengikut standard antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu semua pekerja sama termasuk warga asing perlu diberikan layanan yang sama.
“Bagi memastikan nasib rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu turut terbela, saya akan berbincang dengan pihak berkaitan selepas menerima maklumat berhubung inisiatif tersebut,” katanya.
Mengulas berhubung gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mempercepatkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu, Saravanan memaklumkan pihaknya mengalukan cadangan penambahbaikan sistem tersebut.
“Kementerian setakat ini belum menerima apa-apa daripada Cuepacs namun bersedia mengkaji cadangan itu sebelum menguatkuasakannya,” katanya. – K! ONLINE