fbpx

Tiada arahan tarik balik pendakwaan kes Sugu pukul Pavithra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sugu keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas hadir untuk sebutan semula kes pukul isteri dan miliki sabit di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

IPOH – Suami YouTuber masakan, M. Sugu terpaksa menunggu masa kira-kira seminggu lagi untuk menyelesaikan proses menarik balik pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berhubung kes pukul isteri, S. Pavithra Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman menjelaskan kepada Mahkamah Sesyen di sini bahawa pihaknya belum menerima apa-apa arahan lanjut untuk menarik balik pertuduhan ke atas M. Sugu, 29.

“Surat rasmi penarikan balik kes daripada isteri tertuduh telah diterima pada 4 September lalu.

“Bagaimanapun saya masih belum menerima arahan lanjut daripada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak untuk menarik balik kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam bela Jude Pereira yang mewakili Sugu memberitahu mahkamah bahawa Pavithra, 28, telah membuat laporan polis untuk menarik balik kes dan menghantar surat rasmi kepada pihak pendakwaan untuk menarik balik kes mendatangkan kecederaan itu.

Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir kemudian menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan kes.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan pada bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara pukul 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB di sini pada pukul 6 petang 21 Julai lalu.

Sebelum itu, peguam bela Muhamad Syahrul Nizam Mohd. Rabi memberitahu mahkamah pihaknya baru dilantik dan memohon masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan kes.

Bagi pertuduhan itu, Sugu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI