SUNGAI SIPUT – Polis berjaya menahan suspek utama kes pergaduhan dua lelaki sehingga menyebabkan seorang pemuda maut di Kampung Jalong minggu lalu.
Lelaki dikenali Amy, 30, yang dicari polis sejak seminggu lalu itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sebuah rumah di Pengkalan, Ipoh pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu cuba bersembunyi di kediaman saudaranya di Ipoh.
“Selepas menjalankan siasatan dan hasil maklumat diterima, polis berjaya menjejaki suspek sekali gus menahannya di lokasi tersebut.
“Polis percaya dapat menyelesaikan kes tersebut selepas menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohd. Khaizam, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 September depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan, seorang lelaki bertindak melampaui batas apabila memukul kenalannya menggunakan sebatang kayu sehingga mengalami kecederaan parah dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Jalong di sini 1 September lalu.
Mangsa, Mohd. Izar Mohamad Anuar, 22, yang cedera parah di bahagian muka dan kepala itu bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dua hari kemudiannya. – K! ONLINE