NEW YORK – Pemain pilihan ke-23, Yulia Putintseva mempamerkan kematangan tersendiri untuk mengejutkan pilihan kelapan, Petra Martic pada pusingan 16 terbaik dengan kemenangan 6-3, 2-6, 6-4 dalam tempoh dua jam 37 minit semalam.
Kata Putintseva, persediaan fizikal dan mental serta strategi agresif yang diterapkan telah memberi kesukaran buat Martic selain mengurangkan kesilapan untuk mengutip mata demi mata banyak membantu khususnya pada set penentuan.
“Selepas kedudukan terikat, saya berazam untuk terus memberi tekanan kepadanya pada set penentuan dan itulah yang berlaku apabila dia lebih banyak melakukan kesilapan dan kelihatan tertekan berbanding saya.
“Kini, saya mahu fokus untuk perlawanan suku akhir menentang Jennifer Brady dan sangat berharap dapat meneruskan momentum sama kerana sememangnya memasang niat untuk melangkah jauh pada kejohanan ini,” kata pemain kelahiran Kazakhstan itu.
Sementara itu, wakil tuan rumah, Shelby Rogers meneruskan rentak cemerlang untuk melangkah ke pusingan suku akhir selepas mengejutkan pilihan keenam kejohanan, Petra Kvitova dari Republik Czech dengan keputusan 7-6, 3-6, 7-6.
“Ia adalah perlawanan yang cukup mendebarkan kerana saya berdepan dengan pemain cukup berkualiti seperti Kvitova. Dia telah memberi tentangan sehingga perlawanan terpaksa ditentukan dengan penentuan tie-break.
“Namun, saya dapat bertahan selain tuah juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan saya menang pada perlawanan ini,” kata Rogers yang akan bertemu dengan Naomi Osaka di pentas suku akhir nanti. – AGENSI