Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu kegiatan sindiket penipuan nombor ramalan selepas menahan tiga lelaki dalam satu serbuan berasingan di Perak, Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek lelaki berusia 46 hingga 63 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Kawasan Bercham, Kampung Tawas dan Batu Gajah, Perak.
Ketua JSJN Negeri, Asisten Komisioner Rosni Mohd. Lazim berkata, penahanan ke atas suspek dijalankan susulan laporan yang dibuat seorang mangsa wanita berusia 69 tahun pada 3 September lalu.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah diperdaya sindiket yang menyamar sebagai warga Myanmar dengan menjanjikan upah RM60,000.
“Mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM12,000 secara tunai bagi urusan menebus wang kemenangan tiket toto yang kononnya dimenangi oleh salah seorang sindiket.
“Susulan laporan itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek termasuk mastermind di tiga lokasi berasingan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Polis turut merampas pelbagai peralatan dan resit toto palsu termasuk wang tunai RM500. – K! ONLINE