Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Seorang penganggur di sini berhadapan tali gantung apabila dituduh melakukan pembunuhan ke atas jirannya pada 1 September lalu.
Mengikut kertas pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Mohamad Nawi Che Heng, 41, dituduh dengan sengaja membunuh Sulong Merah, 67, pada tarikh berkenaan.
Mohamad Nawi dituduh melakukan pembunuhan itu di Lot 31 Kampung Peramu di sini pada pukul 12.30 tengah hari.
Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dia bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd. Suah.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aysha Na’ilah Harizan kemudian memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.
Permohonan tersebut dibuat Siti Aysha kerana tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memiliki rekod rawatan sakit mental pada tahun ini.
Majistret Nurul Farahah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes berkenaan. – K! ONLINE