KUALA LUMPUR – Selepas dikecam netizen kerana menggigit lidah seekor biawak, kali ini seorang lelaki yang sama dikesan menguyah ulat bulu hidup hidup yang rakaman klip videonya tular di media sosial kelmarin.
Setakat pukul 2 petang semalam, klip video berdurasi 56 saat yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) itu telah mendapat lebih 21,000 tontonan dan dikongsi sebanyak 171 kali.
Animal Malaysia menerusi satu kenyataan di akaun Facebook miliknya menyelar perbuatan lelaki itu.
“Amalan memakan haiwan yang masih hidup bukanlah budaya negara ini dan perbuatan itu melanggar prinsip moral masyarakat Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu di Sungai Petani, Kedah.
Katanya, maklumat mengenai kejadian serta alamat lengkap pelaku telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook bernama Ara Sarah mempersoalkan mengapa individu berkenaan masih dibiarkan bebas.
“Bukankah dia yang makan lidah biawak tempoh hari? Kenapa masih dibiarkan bebas, lepas ini entah apa lagi yang dia makan. Tolonglah ambil tindakan segera!,” katanya.
Seorang lagi netizen, Nava Bai, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas lelaki terbabit.
“Tidak cukup didikan sahaja, harus dikenakan saman,” ujarnya.
Kosmo! pada 3 September lalu melaporkan tindakan seorang lelaki menggigit lidah seekor biawak hidup yang telah diikat.