fbpx

K2

Ketinggian nilai tunggul kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBRAHIM bersama beberapa perabot unik dihasilkan daripada tunggul-tunggul kayu yang terserlah dengan pelbagai corak akarnya.

SIAPA sangka, tunggul kayu di dalam hutan yang selama ini sering dipandang sepi hakikatnya mampu menawarkan nilai tinggi jika diberi sentuhan kreatif dan unik.

Bakat seni dan kebolehan dimiliki seseorang itu mampu mengubah tunggul kayu yang tiada harga kepada objek atau perabot bernilai tinggi sehingga mencecah RM40,000.

Seorang peniaga, Ibrahim Senawi, 63, di Selama, Kedah berkata, dia menjadikan tunggul kayu sebagai punca pendapatannya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Pelbagai produk dapat dihasilkan daripada tunggul kayu seperti kerusi rehat dan meja,” katanya yang merupakan pemilik syarikat Alafinstone Enterprise kepada K2.

Ibrahim juga merupakan penerima Anugerah Pereka Muda Malaysia bagi kategori seni kayu anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) pada tahun 1997.

Bahkan, kata Ibrahim, hasil kerja seninya mendapat perhatian pembeli-pembeli dari luar negara antaranya Singapura dan China.

“Perabot hiasan mendapat permintaan yang sangat menggalakkan daripada pembeli dari China yang meminati keunikan bentuk asli tunggul kayu,” ujarnya.

Menurutnya, hasil kerja seninya itu dijual pada harga antara RM1,000 hingga RM40,000 bergantung kepada bentuk serta corak pada tunggul kayu.

“Tunggul kayu yang menarik adalah terletak pada bahagian akarnya yang mempunyai pelbagai corak. Para pembeli dari China meminatinya kerana corak-corak akar itu adakalanya berbentuk naga dan sebagainya,” katanya lagi.

 

SEORANG pekerja melakukan kerja-kerja pemotongan tunggul kayu di bengkel.

 

Ibrahim memberitahu, dia mendapat bekalan tunggul kayu daripada para pembekal dari sekitar Kedah, Perak dan Pahang.

“Bagi menghasilkan produk yang menarik dan berkualiti tinggi, ketelitian amat diperlukan kerana hasil seni itu perlu mempunyai daya tarikan kepada pembeli selain mempunyai keunikan tersendiri,” ujarnya.

Ibrahim mempunyai lima pekerja pertukangan di bengkelnya yang bertugas membuat kerja-kerja pemotongan.

“Bagaimanapun, sebelum kerja pemotongan dilakukan, saya sendiri akan menanda bahagian yang perlu dipotong pada akar kayu mengikut corak bersesuaian. Kerja-kerja pemotongan perlu dilakukan dengan berhati-hati agar corak asli kayu tidak terjejas,” katanya.

Ujarnya, peminat perabot diperbuat daripada tunggul kayu meminati bentuk asli akar kayu dan bagi mereka ia mempunyai makna tersendiri.

“Usia tunggul kayu adalah antara 50 ke 60 tahun. Kayu yang menjadi pilihan ialah cengal dan merbau kerana tahan lama,” katanya.

Tambahnya, setiap produk yang dihasilkan mengambil masa sehingga dua minggu untuk disiapkan dan bergantung kepada bentuk dan saiznya.

“Bagi memastikan bekalan bahan tidak terputus, saya membeli tunggul kayu dan menyimpannya di bengkel ini kerana semakin lama kayu disimpan, semakin baik mutunya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI