IPOH – “Mangsa sering mengadu kepada keluarga yang dia sering dibuli dan kena ragging ketika berada di kem,” kata Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, abang kepada anggota tentera, Allahyarham Abdul Aziz.
Abdul Aziz meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor pada pukul 2.30 petang kelmarin selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat pada 29 Ogos lalu.
Menurut Mohamad Amirulnaim, Abdul Aziz juga mengadu yang dia pernah ditumbuk dan mukanya digosok dengan berus besi sehingga luka.
Ekoran kejadian itu, mangsa menyatakan hasrat untuk menamatkan perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika pulang ke kampung di Bandar Baru Putra, Bercham di sini pada Januari lalu.
“Sewaktu pulang ke kampung, parut pada wajah adik saya itu masih berbekas. Parut itu akibat digosok berus besi. Abdul Aziz juga dakwa dia sering ditumbuk ketika berada di kem.
“Abdul Aziz ada menunjukkan gambar yang diambilnya terdapat banyak kesan lebam lama pada badan.
Akibat tidak tahan lagi diperlakukan begitu, dia lari dari kem dan pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini semalam.
Mohamad Amirulnaim berkata, pada awalnya, keluarga menganggap ia bukan masalah yang serius dan mereka juga ada menasihatinya untuk terus bertahan.
“Sejak Disember tahun lalu lagi, arwah ada mengadu tak tahan berada di sana. Setiap hari kena (buli), namun kami anggap itu perkara biasa sehingga dia buat keputusan untuk pulang ke rumah sejak lebih enam bulan lalu,” katanya.
Ujarnya, sepanjang berada di rumah, arwah kelihatan sangat ceria dan sering menolong ibu serta adik-beradik lain dalam urusan harian.
“Apabila dia menyatakan hasratnya sekali lagi mahu berhenti, kami akhirnya akur dan bersetuju dengan keputusan itu,” ujarnya.
Mohamad Amirulnaim berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang semula ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri sekali gus mahu menguruskan proses untuk menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
“Saya bersama ibu yang hantar arwah sampai ke depan pintu kem, namun tidak sampai 24 jam saya terima panggilan kira-kira pukul 3 pagi (29 Ogos lalu) yang memberitahu adik terjatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Pegawai tentera memberitahu bahawa pada pukul 12 tengah malam, adik saya telah dibawa ke hospital selepas cedera parah pada kepala dan dada,” ujarnya.
Katanya, keluarga kemudian bergegas ke ICU HSNI dan mendapati, adiknya sudah tidak sedarkan diri sebelum arwah meninggal dunia kelmarin.
Ujarnya, sebelum kembali ke kem, Abdul Aziz telah menyimpan motosikal kesayangannya di dalam bilik seolah-olah itu petanda dia tidak akan pulang lagi.
“Kami reda dengan pemergian arwah, namun sedikit terkilan kerana kami hantarnya dalam keadaan sihat, namun pulang dengan keadaan macam ini pula.
“Keluarga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan yang adil berhubung kematian adik saya,” katanya.
Jenazah Allahyarham Abdul Aziz dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan di sini malam tadi.
Allahyarham Abdul Aziz berpangkat prebet mula berkhidmat dengan ATM pada tahun 2018 selepas mahu mengikuti jejak arwah bapa mereka, Aznam Ariffin yang juga seorang tentera.-K! ONLINE