PUCHONG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terpaksa menahan sakit hampir 20 minit selepas kepalanya tersepit pada pintu jeriji rumahnya di Bandar Puchong Jaya di sini semalam.
Difahamkan, ketika kejadian, hanya seorang pembantu rumah dan mangsa berada di rumah tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.03 tengah hari.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi itu, pihak kami mendapati seorang kanak-kanak terbaring dengan kepalanya tersepit pada pintu jeriji rumahnya,” katanya.
Bomba mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit dengan peralatan pembuka yang mengambil masa tujuh minit.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa cuba keluar dari rumahnya tanpa pengetahuan pembantu rumah.
Kanak-kanak itu tidak cedera.