MANCHESTER – Manchester United perlu mendapatkan khidmat penyerang berkelas dunia seperti bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane jika mahu kembali mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bekas penolong jurulatih United, Rene Meulensteen menganggap Kane, 27, sebagai alternatif yang lebih murah berbanding sasaran utama The Red Devils iaitu Jadon Sancho daripada Borussia Dortmund.
Meulensteen yang pernah menjadi pembantu kepada Alex Ferguson dari 2007 hingga 2013 menyifatkan Kane sudah membuktikan kemampuannya dalam saingan EPL dan berkemungkinan besar tidak menolak peluang untuk menyertai United.
“Ada jurang yang sangat ketara antara United dengan Liverpool musim lalu. Bagi merapatkan jurang itu, United perlu memulakan saingan musim ini dengan cemerlang dan tidak boleh kehilangan mata-mata berharga.
“Oleh itu, saya berasakan United perlu membawa masuk seorang penyerang baharu yang berkelas dunia dan sudah terbukti kemampuannya. Dalam fikiran saya, United perlu cuba membeli Kane.
“Bagaimanapun, ia bukan mudah untuk memujuk Kane meninggalkan Spurs. Namun, jika ia terjadi, United mampu mencabar kejuaraan liga musim ini,” katanya.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer perlu memujuk Kane berhijrah ke Old Trafford dengan jaminan penyerang utama England itu mampu memenangi trofi bersama mereka berbanding kekal bersama Spurs.
Sekiranya berjaya, Kane bakal menjadi pembelian kedua The Red Devils selepas Donny van de Beek daripada Ajax. – AGENSI