TURIN – Penyerang sensasi Barcelona, Luis Suarez dikatakan sudah bersetuju dengan kontrak tiga tahun bernilai €10 juta (RM49.08 juta) setahun ditawarkan gergasi Itali, Juventus.
Difahamkan, Suarez, 33, akan menduduki peperiksaan bahasa Itali dalam tempoh beberapa hari lagi untuk mendapatkan pasport negara itu sekali gus melengkapkan perpindahannya menyertai skuad juara 36 kali Serie A tersebut.
Barcelona didakwa bersetuju dengan terma perjanjian tersebut memandangkan ketua jurulatih baharu pasukan itu, Ronald Koeman tidak berminat untuk menggunakan khidmat Suarez musim ini.
The Catalan merasakan lebih baik mereka menjual Suarez daripada perlu membayar €14 juta (RM68.72 juta) jika menamatkan kontrak bekas bintang Liverpool itu dalam keadaan aspek kewangan masih lagi terjejas disebabkan situasi Covid-19.
Ketiadaan Suarez akan membuka ruang buat Barcelona untuk cuba sedaya upaya mendapatkan tandatangan penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez membentuk gandingan mantap dengan rakan senegaranya iaitu Lionel Messi.
Dalam perkembangan sama, kehadiran ‘mesin gol’ Uruguay itu akan meringankan beban ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo yang sebelum ini mengesahkan Gonzalo Higuain akan meninggalkan pasukan itu sebelum kontraknya tamat.
Sebagai rekod, Suarez telah menjaringkan 198 gol daripada 283 penampilan sejak menyertai Barcelona daripada Liverpool pada 2014 dengan membantu mereka menjuarai empat gelaran La Liga dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara. – AGENSI