Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Seorang wanita warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu yang dibelinya dengan nilai RM5,000.
Tertuduh, Rowena Llenado, 38, yang juga seorang ibu tunggal mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Rowena didakwa memiliki MyKad palsu di atas nama Rowena Llenado pada 3 Julai 2020 di sebuah rumah beralamat di L2-0, Blok L, Universiti Apartment 2 (UA2), 88400 Kota Kinabalu, Sabah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Dalam pada itu, Rowena juga mengaku membeli kad pengenalan terbabit daripada bapa saudara kepada bekas suaminya bernilai RM5,000.
Menurut fakta kes, semakan yang dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod jabatan.
Semakan lanjut juga mendapati nombor kad pengenalan 820728-12-6006 atas nama Rowena Llenado terbabit belum pernah dikeluarkan serta taraf kewarganegaraan sijil kelahiran tertuduh adalah bukan warganegara.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdulah memohon hukuman berat dan maksimum diberikan kepada tertuduh kerana menggunakan dokumen MayKad palsu.
“Penggunaan kad pengenalan palsu berstatus warganegara oleh individu bukan warganegara sudah tentu menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara kita.
“Kita mengambil iktibar dari kes tembakan seorang pegawai bank pada 2013 oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu,” katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam, PJ Pereira merayu supaya hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh adalah seorang ibu tunggal yang memiliki tiga anak.
Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan lanjut. – K! ONLINE