fbpx

Bapa kanak-kanak pandu treler ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah treler yang tular di media sosial.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Polis telah menahan bapa kepada seorang kanak-kanak yang videonya tular di media sosial sedang memandu sebuah treler semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, bapa kanak-kanak berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Rantau dan direman selama dua hari bermula semalam.

“Bapa kepada kanak-kanak berusia 11 tahun itu (memandu treler) telah ditahan semalam bagi membantu siasatan selepas satu video tular di media sosial.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar melaporkan selepas video seorang kanak-kanak memandu kereta tular di media sosial, berlaku satu lagi kes tapi kali ini video memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur memandu sebuah lori treler.

Sebuah video berdurasi satu minit 18 saat memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur sedang memandu sebuah lori treler jenis HINO tular di aplikasi Whatssap kira-kira pukul 4.41 petang tadi.

Dalam video tersebut kelihatan kanak-kanak itu memandu ke hadapan dan mengundurkan treler sebelum berjaya meletakkan kenderaan berat itu di tempat parkir.

Terdahulu Isnin lalu,  tular di media sosial video seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga dengan tajuk ‘Handa orang Rombau haa’.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu memberitahu bapanya yang mengajarnya memandu kereta apabila ditanya oleh seorang lelaki dipercayai perakam video. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI