fbpx

Badminton masih dibayangi Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

PEMINAT-PEMINAT badminton di seluruh dunia pastinya sangat teruja serta tidak sabar menantikan saingan Piala Thomas 2020 yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober depan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sudah mengesahkan kejohanan dwitahunan itu akan tetap berlangsung meskipun seluruh dunia masih berjaga-jaga dengan pandemik Covid-19.

Tumpuan pastinya terarah kepada kem badminton negara dalam mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi kejohanan yang dianggap sebagai piala dunia sukan raket tersebut.

Umum mengetahui, sudah lama Malaysia tidak mendakap serta menjulang trofi itu selepas kali terakhir memenanginya pada 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kini, sudah 28 tahun rakyat Malaysia menantikan kepulangan Piala Thomas ke tanah air dan tidak dinafikan cabaran kian sukar saban tahun dengan kehadiran muka-muka baharu dalam pasukan lawan yang mahu meleburkan hasrat skuad negara.

Edisi kali ini mungkin sedikit berbeza apabila kita kehilangan khidmat legenda perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengambil keputusan menggantung raket tahun lalu.

Justeru, tugas untuk mencuri mata pertama dalam setiap perlawanan kini mungkin digalas pemain perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia, 22.

Skuad negara dijangka membentuk satu skuad yang terdiri daripada pemain muda dan berpengalaman bagi menghadapi perlawanan.

Bagaimanapun, peminat-peminat sukan negara khususnya badminton diharap tidak meletakkan harapan serta tekanan terlalu tinggi kepada skuad kebangsaan.

Sebaliknya, terus berikan sokongan padu serta kata-kata semangat kepada wira negara tidak kira sama ada ketika menang ataupun kalah.

Sebelum ini, Zii Jia pernah menyuarakan kebimbangannya berhubung saingan Piala Thomas kali ini apabila bakal turun tanpa kelibat Chong Wei.

“Pada edisi dua tahun lalu, boleh dikatakan satu mata sudah ada dalam genggaman menerusi Datuk (Chong Wei). Bagaimanapun, kali ini agak sukar kerana Datuk sudah tidak bermain lagi.

“Walaupun sukar tetapi tidak mustahil untuk kita layakkan diri ke pusingan berikutnya sebagai juara kumpulan. Walaupun kita fokus pada Indonesia, namun jangan pandang rendah kemampuan dua pasukan lagi,” katanya.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi serta juara 13 kali, Indonesia serta dua wakil Eropah, England dan Belanda.

Jika dilihat secara kasar, skuad negara tidak berdepan sebarang masalah untuk memastikan tempat ke peringkat suku akhir memandangkan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak.

Sementara itu, pakar beregu tanah air, Datuk Seri Jalani Sidek berharap Persatuan Badminton Malaysia bersikap lebih terbuka untuk turut menyenaraikan pemain-pemain profesional berdasarkan pengalaman dimiliki bagi mengurangkan tekanan terhadap pasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI