MANILA – Seorang suspek pengganas terbunuh, manakala dua askar dan tiga penduduk awam cedera selepas tentera Filipina menyerbu tempat persembunyian kumpulan militan Abu Sayyaf di Alicia, Zamboanga semalam, lapor portal berita Manila Bulletin.
Laporan dari Markas Mindanao Barat mengenal pasti suspek yang dibunuh itu sebagai Idris Aquilon. Dia dilaporkan menjadi sahabat karib komander Abu Sayyaf, Furuji Indama yang maut dalam operasi tentera Filipina pada April 2016.
Sementara itu, identiti askar dan penduduk awam yang cedera belum didedahkan oleh tentera.
Komander Pasukan Bertindak Bersama Semenanjung Zamboanga dan Lanao, Mejar Jeneral Generoso Ponio berkata, pihak tentera menyerbu tempat persembunyian Abu Sayyaf itu sekitar pukul 3.15 pagi.
Menurutnya, serbuan dilakukan selepas tentera menerima maklumat risikan mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan tersebut.
Ponio menambah, pasukan tentera berbalas tembakan dengan sejumlah lelaki bersenjata selama 30 minit sebelum kesemua suspek melarikan diri.
“Kami percaya sebilangan militan cedera dan mungkin meninggal dunia akibat kehilangan darah selepas pertembungan tersebut,” kata Polo.
Mayat Idris ditemui di lokasi kejadian. Tentera turut merampas tiga raifal grenad, sebuah kelopak peluru dan beberapa bahan letupan serta sejumlah peluru.
Mereka yang cedera pula dibawa ke beberapa buah hospital di wilayah Sibugay untuk mendapatkan rawatan. – Agensi