Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan prosiding pendengaran permohonan 33 wakil rakyat berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan prosiding disambung esok.
Ia dibuat selepas mendengar hujahan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 Adun Sabah , serta Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh.
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian itu menetapkan prosiding dijangka bermula jam 12 tengah hari esok dimana peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Tan Sri Shafie dan kerajaan Sabah akan menyambung hujahan.
Seterusnya hujahan daripada peguam Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan hujahan balas dari Datuk Firoz Hussein.
Pada 26 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujah peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili 33 ADUN terbabit yang mengemuka permohonan semakan terbabit dan hujah Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh.
Malah, sebelum ini juga, Peguam Besar Negeri Sabah, Brandon Keith Soh menetapkan keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin adalah menggunakan kuasa budi bicara dan tidak boleh dicabar.
Susulan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 September depan sebagai hari pengundian pilihan raya negeri (PRN) Sabah. – K! ONLINE