Sejak akhir-akhir ini, ramai yang meramalkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Ada yang menjangkakan ia bakal dijalankan hujung tahun ini, malah ada juga yang berpandangan PRU-15 hanya akan berlangsung pada tahun hadapan.
Walau apa sekalipun ramalan yang dibuat, hakikatnya tetap sama bahawa semua yang bakal bertanding bagi merebut 222 kerusi di Dewan Rakyat perlu bijak mengatur langkah.
Tersilap langkah bermakna peluang untuk dipilih menjadi calon semakin menipis kerana persepsi rakyat terhadap individu berkenaan pastinya diambil kira oleh sesebuah parti.
Manakan tidak, tanggapan negatif terhadap calon akan memberi kesan terhadap undi.
Contoh paling mudah ditunjukkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini.
Dalam sidang Dewan Negara, beliau mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin hanya memanjat pokok untuk menaikkan rating di laman YouTubenya dan bukannya untuk menjalani peperiksaan.
Bagaimanapun, apabila menyedari apa yang dikatakan itu satu kesilapan, beliau meminta maaf menerusi laman Facebooknya dengan mendakwa telah diberikan maklumat yang salah.
Kesilapan dilakukan Ahli Parlimen Padang Besar itu nyata memberi tanggapan buruk terhadapnya biarpun permohonan maaf telah dilakukan.
Bagi orang ramai, kesilapan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seseorang yang bergelar timbalan menteri di sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap komunikasi.
Selain itu, tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengumumkan mahu menubuhkan sebuah parti politik baharu dengan memberi penekanan kepada golongan muda juga menerima pelbagai pandangan.
Ada yang mengatakan ia satu tindakan tepat, namun ada juga berpendapat ia bagaikan satu tindakan yang akan membunuh karier politiknya sendiri.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, persepsi rakyat terhadap ahli politik berubah-ubah dan ia terletak di tangan mereka sendiri untuk mencetuskan perubahan.
Menurutnya, imej bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah terjejas teruk sebelum tahun 2018, namun ia telah berubah ketika ini.
“Kita dapat lihat persepsi orang ramai terhadap Najib telah berubah dan ia disebabkan oleh tindakan beliau secara berterusan untuk mendekati rakyat.
“Beliau sentiasa turun padang berjumpa rakyat, menangani masalah dihadapi mereka serta berhujah dengan fakta,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Shukri Shuib pula berkata, ahli politik di negara ini diseru untuk mengamalkan dasar demokrasi profesional.
Katanya, demokrasi profesional meliputi pelbagai aspek, antaranya cara berkata-kata dan disiplin bekerja yang diamalkan.
“Negara kita mengamalkan dasar demokrasi anarki, yang mana ahli politik bebas berkata apa-apa sahaja. Kita tidak mahu ini diamalkan lagi,” katanya.
Ujarnya, segala tindak-tanduk yang dilakukan ahli politik mencerminkan tahap profesionalisme dimiliki, sekali gus memberi kesan terhadap persepsi rakyat mengenai mereka.