fbpx

Peluang kedua untuk banduan seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ATIKAH DALI, PENGARANG BERITA

31 Ogos 2020 merupakan tarikh yang paling diingati buat 13 bekas anggota kumpulan Al-Maunah yang sebelum ini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat atas kesalahan berperang melawan Yang di-Pertuan Agong 20 tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada kesemua mereka yang meringkuk di tirai besi sejak 2001 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Pembebasan awal yang diperkenan Al-Sultan Abdullah itu diibaratkan seperti kehidupan semula bagi kesemua 13 bekas banduan berkenaan.

Siapa sangka mereka yang melalui pelbagai episod sukar dan pahit sebagai banduan seumur hidup diberi peluang meneruskan kehidupan di luar sama seperti individu yang lain.
20 tahun bukan satu tempoh yang singkat lebih-lebih lagi bagi mereka yang menjalani kehidupan di sebalik tembok penjara.

Malah, ada dalam kalangan 13 banduan tersebut mengakui tertekan dan hampir gila selepas dimasukkan ke dalam penjara, namun cepat-cepat mendekatkan diri kepada Tuhan.

Kehidupan di penjara walaupun sehari sudah cukup memberi kesan mendalam kepada penghuninya, apatah lagi bagi mereka yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Sudah pasti ada dalam kalangan mereka membayangkan pengakhiran masing-masing di tirai besi.

Mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Yang di-Pertuan Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun atau menunda hukuman bagi kesemua kesalahan.

Sebelum keputusan dibuat, sudah pasti pelbagai aspek telah diteliti dan diperhalusi oleh Lembaga Pengampunan.

Banduan yang diberi pengampunan juga sememangnya juga dipastikan benar-benar ‘pulih’ dan diyakini dapat berdikari untuk menjalani kehidupan sebenar yang lebih mencabar di luar sana.

Penulis percaya dalam hal ini semua pihak perlu memainkan peranan.

Bukan hanya tuan empunya badan yang ‘bertarung’ meneruskan kehidupan, tetapi sebaliknya segera ditawarkan pekerjaan supaya masa mereka yang berbaki tidak disia-siakan.

Penulis pasti kehidupan kesemua banduan yang diberi pembebasan awal sudah berubah.

Kehidupan di tirai besi menjadi pengalaman paling bermakna dalam hidup masing-masing untuk tidak mengulangi lagi kesilapan yang sama.

Mungkin mereka pernah membuat silap tetapi ia bukan pengakhiran kepada segala-galanya, sebaliknya segera bertaubat jika membuat silap.

Mungkin kita telah membuat kesilapan pada masa lalu, namun berusahalah untuk memperbetulkannya kembali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI