BLACKPOOL – Penyerang Liverpool, Takumi Minamino dilihat semakin selesa dan sudah dapat menyesuaikan diri dengan formasi 4-2-3-1 digunakan skuad juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sejak kebelakangan ini.
Ia terbukti apabila Minamino, 25, berjaya mempamerkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan satu gol dalam kemenangan bergaya 7-2 ke atas Blackpool dalam aksi persahabatan di Bloomfield Road kelmarin.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp berharap bintang Jepun itu dapat meneruskan momentum semasa menjelang perlawanan pembuka tirai saingan musim baharu EPL menentang Leeds United di Anfield pada Ahad ini.
“Ini yang saya mahu daripada Minamino dan saya harap dia mendapat keyakinan untuk terus beraksi cemerlang apabila saingan EPL bermula nanti.
“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan prestasinya dalam beberapa aksi pramusim ketika ini. Dia bukan sahaja bagus secara individu tetapi sudah boleh bermain dengan baik sebagai satu pasukan.
“Saya tak kisah siapa yang menjaringkan gol kerana kemenangan pasukan lebih penting tetapi saya gembira jika Minamino berjaya melakukannya,” kata Klopp.
Liverpool ketinggalan dua gol kepada Blackpool melalui CJ Hamilton dan Jerry Yates sebelum merapatkan jurang kedudukan 1-2 menerusi Joel Matip sebelum tamat separuh masa pertama.
The Reds bangkit mempamerkan karakter sebenar dalam babak kedua apabila berjaya menjaringkan enam gol melalui Sadio Mane, Roberto Firmino, Harvey Elliott, Minamino, Divock Origi dan Sepp van den Berg. – AGENSI