fbpx

MaGIC peruntuk geran RM10 juta untuk bantu usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) memperuntukkan geran berjumlah RM10 juta untuk Geran Padanan Impak Sosial (SIM) bagi membantu golongan usahawan yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Ma­GIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, geran di bawah inisiatif lonjakan Perusahaan Sosial (SE) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu bertujuan untuk membantu usahawan mengembalikan keupayaan me­ngumpul dana, meningkatkan ke­sedaran umum tentang inovasi sosial dan mengetengahkan solusi demi kepentingan masyarakat dan alam sekitar.

“Geran tersebut dilancarkan tepat pada masanya, meman­dangkan kebanyakan perusahaan sosial yang mengambil pekerja dalam kalangan golongan terpinggir dan komuniti B40 juga turut terkesan teruk berikutan krisis wabak berbahaya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena pelancaran geran tersebut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di sini baru-baru ini.
SIM memberi keutamaan kepada permohonan yang membawa penyelesaian inovatif di dalam lima bidang utama dalam kehidupan harian iaitu jaminan makanan, kesihatan dan ke­sejahtaraan masyarakat, perlin­dungan alam sekitar serta pemeliharaan warisan.
Setiap permohonan layak mendapat geran padanan berjumlah antara RM5,000 hingga RM500,000.
Selain itu, Dzuleira menerangkan, MaGIC telah melancarkan kempen #BuyForImpact yang menggalakkan pelanggan dan pembeli mengubah pasaran semasa dengan membuat pilihan untuk berbelanja ke arah bara­ngan hasil perusahaan sosial.
“Di bawah kempen #BuyForImpact, kami ingin meningkatkan saluran pasaran untuk perusahaan-perusahaan sosial di samping menyemai kesedaran sosial bahawa pilihan pembe­lian pengguna dan pembeli dapat membawa impak yang memanfaatkan generasi akan datang.
“Kempen ini juga dapat menggalakkan lebih ramai rakyat menjalinkan hubungan akrab dengan ekosistem inovasi sosial,” jelas­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI