MADRID – Barcelona dilapor menamakan Memphis Depay sebagai pemain sasaran utamanya selepas penyerangnya, Luis Suarez hampir pasti meninggalkan pasukan itu.
Pemain antarabangsa Uruguay itu merupakan penjaring ketiga terbanyak kelab berkenaan hampir pasti menyertai Juventus dan sedang melalui proses rundingan untuk menamatkan kontraknya bersama gergasi Sepanyol berkenaan.
Depay yang merupakan penyerang Olympique Lyon melalui tempoh cemerlang bersama pasukan itu musim ini selain berjaya mengumpul 52 gol dalam tempoh empat musim di Perancis.
Barcelona percaya mereka mampu mendapatkan Depay dengan harga semurah £17 juta (RM83.55 juta) pada jendela perpindahan kali ini ketika pemain itu hanya mempunyai baki kontrak selama setahun sahaja lagi.
Pemain berusia 26 tahun itu juga dikatakan semakin menghampiri Barcelona terutama ketika pasukan itu kini dibimbing Ronald Koeman yang mengendalikan skuad kebangsaan Belanda sejak dua tahun lalu.
Pemain Belanda itu memulakan musim baharu apabila menjaringkan gol ketika membantu Lyon menewaskan Dijon 4-1 pada aksi pembukaan Ligue 1.
Biarpun dilihat sebagai calon sesuai menggantikan Suarez, rekod jaringan Depay masih tidak mampu mengatasi pemain berkenaan.
Suarez meledak lebih 20 gol setiap musim sejak lapan musim lalu ketika bersama Liverpool dan Barcelona. – AGENSI